Kalau Ada Jodoh Tak Ke Mana...
(Dia)- Kami tidak berzina!
(Saya)- Maaf, saya tidak menuduh awak berzina tetapi awak menghampiri zina.
(Dia)- Kami hanya bebual, berbincang, bertanya khabar, minum-minum.. adakah menghampiri zina ?
(Saya)- Ya, perbuatan itu boleh menjerumus pelakunya ke lembah penzinaan.
(Dia)- Kami dapat mengawal perasaan dan kami tidak berniat kearah itu...
(Saya)- Hari ini, ya. Besok mungkin kamu kecundang. Kamu dalam bahaya. Jangan bermain dengan bahaya. Iblis dan syaitan akan memerangkap kamu. Sudah banyak tipu daya iblis yang mengenai sasaran. Ia telah menipu moyang kita yang pertama, Adam dan Hawa. Jangan pula terlupa. Siapalah kita jika dibandingkan dengan Adam dan Hawa? Iblis amat licik. Pengalaman banyak, Ia ada lebih 1001 cara. Ingat pesanan Rasulullah s.a.w: ”Jangan engakau bersendirian dengan seorang wanita kecuali ketiganya adalah syaitan” (Riwayat Tabrani). Syaitan akan menghembuskan nafas berahi. Kita lemah untuk menghadapi tipu daya iblis.
(Dia)- Tidak semstinya semua orang bercinta menjurus kepada perzinaan. Ada yang hanya bercinta dalam telefon dan hantar SMS sahaja dan tak pernah bersua pun!!
(Saya)- Betul! Itu adalah salah satu yang dimaksudkan dengan menghampiri zina. Memang pada awalnya tidak bersua muka, tapi perasaan pasti bergelora. Lambat launnya desakan nafsu dan perasaan serta hasutan iblis, akan mengheret kepada suatu pertemuan. Pertemuan pertama tidak akan terhenti di situ sahaja. Percayalah, ia akan berlanjutan dan berterusan. Tidakkah itu boleh membawa kepada perzinaan akhirnya??
(Dia)- Takkan nak berbual-bual pun tak boleh? Itu pun zina juga ke?
(Saya)- Zina ada bermacam-macam jenis dan peringkatnya, ada zina yang jelas (betul-betul punya), ada zina tangan iaitu berpegang-pegangan, ada zina mata iaitu melihat kekasih dengan perasaan berahi. Melihat auratnya juga zina mata. Zina hati iaitu khayalan berahi dengan kekasih sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w: ”Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh. Kedua-dua kaki juga berzina dan zinanya berjalan (menuju ke tempat dating) . Mulut juga berzina dan zinanya ialah ciuman (Riwayat Muslim dan Abu Daud) Sebenarnya jalan dan lorong menuju kepada perzinaan amat banyak. Jangan biarkan diri kita berada atau melalui mana-mana jalan atau lorong yang boleh membawa kepada perzinaan.
(Dia)- Duduk berdiskusi pelajaran tak boleh ke? Bincang pelajaran sahaja!
(Saya)- Berdiskusi pelajaran...betul ke? jangan tipu. Allah tahu apa yang terselit di dalam hati hamba-hambaNYA. Kita belajar nak cari keberkatan. Kalau cemerlang sekalipun, kalau tidak di berkati oleh Allah s.w.t,kejayaan tidak akan membawa kebahagiaan. Hidup tidak bahagia, akhirat lebih lagi lah. Jangan berselindung disebalik pelajaran yang mulia. Allah suka kepada orang yang berilmu. Belajar akan jadi ibadat. Adakah berdiskusi macam ni akan di tulis oleh malaikat Raqib dan Atid? Fikir-fikirkan...
(Dia)- Sungguh! Bincang pelajaran sahaja. Ni “ study group”
(Saya)- Study Group..? Nampak lain macam je, manja, senyum memanjang, tak macam gaya berdiskusi. Takkan study group berdua je. Kalau ya pun, carilah study group yang ramai sikit. Kalau duduk berdua-duaan macam ni, tak nama group. Betul ke bincang pelajaran? Jangan-jangan sekejap saja bincang pelajaran, yang lain tu dihabiskan dengan fantasi cinta!
(Dia)- Taklah, sungguh berbincang pelajaran.
(Saya)- Baik sungguh awak berdua. Takkan awak berdua tak ada perasaan apa-apa? Awak kurang sihat ke? Ingat, kita bukan malaikat yang tak ada nafsu. Kita manusia. Jangan nafikan fitrah manusia yang ada nafsu.
(Dia)- Kami sama-sama belajar,study group, saling memberi semangat dan motivasi...
(Saya)- Tak adakah rakan yang sama jantina yang boleh dijadikan rakan belajar? Habis sudahkah rakan yang boleh memberikan motivasi? Jangan hina kaum sejenis kita. Ingat, banyak orang cemerlang yang belajar hanya dengan rakan yang sama jantina. Lebih tenang perasaan, tidak terganggu, dapat berkat dan rahmat pula.
(Dia)- takkan tak ada ruang langsung dalam ISLAM untuk bercinta? Adakah Islam membunuh terus naluri cinta?
(Saya)- Naluri adalah sebahagian daripada kesempurnaan kejadian manusia. Naluri ingin memiliki dan suka kalau dimiliki (sense of belonging) adalah fitrah. Kalau naluri itu tidak wujud pada diri seseorang, tak normal namanya. Islam bukan datang membunuh naluri dan keinginan itu. Tidak! Islam tidak akan melakukan perkara yang dilakukan oleh paderi dan sami. Jangan nafikan naluri ini. Jangan berbohong pada diri sendiri. Bukan salah dan berdosa kalau perasaan itu datang tanpa diundang. Itu adalah fitrah. Cuma tundukkan naluri itu untuk patuh pada perintah Allah. Jadilah manusia yang sihat nalurinya. Jagan jadi malaikat! Kerana Allah ciptakan kita sebagai manusia. Dunia dan seisinya akan hambar tanpa naluri dan nafsu. Tapi pengawalan yang perlu dipertingkat.
(Dia)- Tentu ada cinta secara Islam.
(Saya)- Cinta secara Islam hanya satu, iaitu perkahwinan. Cinta berlaku setelah ijab dan qabul. Cinta selepas kahwin. Itulah cinta yang suci dan kudus. Cinta bermaruah, bukan cinta murahan. Inilah kemuliaan agama kita, ISLAM. Apabila Islam melarang sesuatu perkara, tentu ia digantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Kalau ia melarang cinta antara lelaki dan perempuan sebelum kahwin, ia membawa “sesuatu” yang lebih baik iaitu perkahwinan. Sabda Rasulullah s.a.w : “Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah. (Riwayat Ibni Majah). Cinta adalah maruah manusia. Ia terlalu mulia.
(Dia)- Kalau begitu, cinta remaja masa kini semua menghampiri kepada penzinaan?
(Saya)- Ya. Kalau lelaki dan perempuan bertemu tentu perasaan terusik. Kemudian perasaan dilayan, kemudian teringat, rindu. Kemudian di atur pertemuan, kemudian duduk berdua-duaan, kemudian mencari tempat sunyi sedikit, kemudian berbual sehingga malam gelap. Hubungan semakin akrab, dah pegang tangan, duduk semakin dekat. Kalau tadi macam kawan, sekarang macam pengantin baru semalam… Bukankah mereka semakin hampir dan dekat dengan penzinaan?
Penghujung jalan cinta adalah penzinaan dan kesengsaraan. Berapa ramai orang yang bercinta telah sampai kepada daerah penzinaan dan kesengsaraan. Kasihanilah diri dan ibubapa yang telah melahirkan kita dalam keadaan putih bersih tanpa noda.
(Dia)- Masih ramai orang yang bercinta tetapi tetap selamat, tidak sampai berzina. Kami tahan diuji...
(Saya)- Allah yang menciptakan manusia, maka DIA tahu kekuatan dan kelemahan manusia. Manusia tidak tahan ujian. Oleh itu Allah memerintahkan supaya jauhi perkara yang ditegah takut manusia akan kecundang.
(Dia)- Jadi manusia itu tak tahan di uji??
(Saya)- Kita manusia dari keturunan Adam dan Hawa. Sejak dari awal penciptaan manusia, Allah telah mengingatkan manusia bahawa mereka tidak akan tahan ujian walaupun kecil. Allah takdirkan satu peristiwa untuk iktibar bagi manusia. Allah tegah Adam dan Hawa dari memakan buah khuldi dalam syurga. Buah yang lain boleh dimakan. Allah memang mencipta manusia ada kelemahannya, manusia tak tahan diuji. Oleh itu Allah berpesan kepada Adam dan Hawa, jangan hampiri pokok khuldi itu . Tegahan yang sebenarnya adalah memakan buah khuldi tersebut. Tetapi Allah tahu sifat kelemahan Adam dan Hawa. Jika mereka menghampiri tegahan, takut nanti mereka akan memakannya. Kerana mereka tidak dapat mengawal diri. Demikianlah dengan zina, di tegah berzina. Maka, jalan kearah penzinaan itu juga di larang. Takut apabila berhadapan dengan godaan penzinaan, kedua-duanya akan kecundang. Cukuplah kita belajar dari pengalaman nenek moyang kita Adam dan Hawa.
(Dia)- Tetapi cinta selepas kahwin banyak maslah. Kita tak kenal pasangan kita secara dekat. Bercinta adalah untuk mengenal hati budi pasangan sebelum buat keputusan untuk berkahwin.
(Saya)- Bolehkah kita percaya dengan perwatakan masa sedang bercinta? Bercinta penuh dengan lakonan yang dibuat-buat dan kepura-puraan. Masing-masing akan berlakon dengan watak yang terbaik. Penyayang, penyabar, pemurah dan berbagai2 lagi. Masa cinta adalah lakonan semata-mata. Masa bercinta, merajuk ada yang akan pujuk. Jangan harap lepas kahwin, bila merajuk akan ada yang pujuk. Banyak orang dah kecewa dek kerana tertipu dengan keperibadian semasa bercinta. Perangai pasangan jauh berbeza, macam langit dan bumi. Masa bercinta, dia seorang yang amat penyayang, penyabar. Tapi bila dah kahwin, lewat lima minit dah kena tengking. Jadi, perwatakan dalam masa bercinta tidak boleh dipercayai. Percintaan adalah sesuatu kepuraaan atau hipokrit. Digalakkan pula pertunangan. Haaa, masa ini siapa kata kita tak boleh kenal pasangan? Dengan menyelidiki latarbelakang dari keluarga dan rakan sekeliling, informasi itu lebih valid berbanding kita bercinta bagai nak mati dengan pasangan itu.
(Dia)- Percayalah, kami bercinta demi merancang kebahagiaan hidup nanti.
(Saya)- Bagaimana di harap kebahagiaan jika tidak mendapat redha Allah? Kebahagiaan adalah anugerah Allah kepada hamba-hamba NYA yang terpilih. Kebahagiaan bukan ciptaan manusia. Manusia hanya merancang kebahagiaan. Allah yang akan menganugerahkannya. Bagaimana mendapat anugerah kebahagiaan itu jika jalan mencapai keredhaan itu tidak diredhai Allah. Kebahagiaan berumahtangga mestilah melalui proses yang betul. Sudah tetntu prosesnya bukan bercinta sebegini. Allah tidak meredhai percintaan ini. Cinta yang diredhai Allah adalah cinta selepas kahwin. Bagaimana untuk mendapatkan keluarga yang bahagia jika langkah mula sudahpun canggung, bagaimana pula kesudahannya??
(Dia)- Nak tanya sedikit.. Adik angkat, kakak angkat, abang angkat boleh ke ? ganti bercinta…
(Saya)- Semua itu adalah perangkap iblis dan syaitan. Hakikatnya adalah sama. Cinta yang diberi nafas baru, kulitnya nampak berlainan, tetapi isinya tetap sama. Adik angkat, kakak angkat, abang angkat adalah satu bentuk tipu daya iblis dan syaitan. Manusia yang terlibat dengan budaya ‘angkat’ ini sebenarnya telah masuk kedalam perangkap syaitan. Cuma menunggu masa untuk di korbankan. Namakan apa sekalipun, abang angkat ke, motivator ke, semuanya adalah sama. Jalan ke akhirnya akan bertemu dengan zina.
(Dia)- Jadi, seolah-olah orang yang bercinta telah hilang maruah diri?
(Saya)- Mengukur maruah diri bukan dengan ditentukan oleh manusia, tetapi oleh Pencipta manusia. Sebab ukuran manusia berbeza-beza. Orang yang sedang mabuk cinta akan menyatakan orang yang sedang bercinta tidak menjejaskan apa-apa maruah dirinya. Manakala, bagi orang yang menjaga dirinya, tidak mahu terlibat dengan cinta sebelum kahwin, akan mengatakan orang yang bercinta sudah tidak bermaruah lagi. Cintanya ditumpahkan kepada orang yang belum layak menerima cinta suci itu. Kalau begitu ukuran bermaruah atau tidak adalah di tentukan oleh Allah.
(Dia)- Adakah orang yang bercinta hilang maruah?
(Saya)- Antara kemuliaan manusia ialah maruah dirinya. Orang yang bercinta seolah-olah menggadai maruahnya kerana mereka menghampiri penzinaan. Manakala orang yang bercinta dan pernah berzina tidak layak berkahwin kecuali orang yang pernah berzina juga. Mereka tidak layak untuk berkahwin dengan orang yang beriman. Allah berfirman: ((Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik. Dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian terlarang kepada orang-orang yang beriman)) ( Surah An Nur:3). Jadi orang yang pernah bercinta juga tidak sesuai untuk berkahwin dengan orang yang tidak pernah bercinta. Tidakkah ianya satu penghinaan Allah???
(Dia)- Jadi orang yang bercinta hanya layak berkahwin dengan orang yang pernah bercinta juga?
(Saya)- Itulah pasangan yang layak untuk dirinya. Kerana wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Lelaki yang baik untuk wanita yang baik.
(Dia)- Kami telahpun berjanji sehidup semati…
(Saya)- Apa ada pada janji setia cinta? Berapa banyak sudah janji cinta yang musnah? Lelaki, jangan diharap pada janji lelaki. Jangan percaya penuh. Mereka hanya menunggu peluang keemasan sahaja. Habis madu, sepah dibuang.
(Dia)- Si dia ini lain dari yang lain. Dia lelaki yang penyayang dan bertanggungjawab...
(Saya)- Tahukah hati budi lelaki? Sejahat mana lelaki apabila mengambil wanita sebagai isteri dan seterusnya menjadi ibu untuk anak-anaknya, dia akan memilih wanita yang baik. Tetapi untuk berseronok, suka berfoya-foya, lelaki biasanya memilih perempuan murahan kerana itu suatu pelaburan yang menguntungkan. Itulah rahsia lelaki.
(Dia)- Jadi, perempuan yang bercinta, jatuh maruahnya pada pandangan lelaki?
(Saya)- Tentu, mana ada lelaki yang normal suka pada barang “second hand” sedangkan barang yang baru masih ada. Sesetengah mereka akan menggambarkan perempuan seperti kereta yang diletakkan di show room sahaja ”display only”. Tapi ada yang boleh test drive. Ada pula kata, sekadar sepinggan mee goring dan segelas sirap, bawalah kehulu-hilir. Sedihkan?? Itulah hakikatnya..
(Dia)- Masih adakah orang yang tidak bercinta di zaman ini ?
(Saya)- Ya, masih ada orang yang suci dalam debu. Golongan ini akan sentiasa ada walaupun jumlah mereka kecil. Mereka akan bertemu suatu hari nanti, pasti mereka ada pasangannya. Firman Allah:
((Dan orang2 lelaki yang memelihara kehormatannya serta perempaun yang memelihara kehormatannya. Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar)) ( Al- Ahzab: 35)
(Dia)- Bagaimana kami ?
(Saya)- Kamu masih ada peluang. Bertaubatlah dengan taubat nasuha. Berdoalah serta mohon keampunan dari-NYA. Mohonlah petunjuk dan kekuatan untuk mendapat redha-NYA.
(Dia)- Kami ingin mendapat redha Allah. Tunjukkan bagaimana taubat nasuha?
(Saya)- Taubat yang murni adalah taubat yang sebenar-benarnya, iaitu taubat yang memenuhi 3 syarat:
a) Tinggalkanlah perbuatan maksiat. Putuskanlah hubungan cinta yang tidak diredhai Allah ini.
b) Menyesal. Menginsafi diri di atas tindak tanduk hidup yang menjurus diri dalam percintaan.
c) Berazam. Bertekad didalam hati tidak bercinta lagi dengan sesiapa selain yang bernama isteri atau suami. Saatnya adalah selepas ijab qabul.
Ya Allah, hambamu telah tersesat jalan, ampunilah dosa-dosa hamba-Mu ini. Sesungguhnya Engkau maha Pengampun dan Penerima taubat. Berilah kekuatan kepadaku untuk menghadapi godaan keremajaan ini. Anugerahkanlah diriku perasaan benci kepada maksiat. Hiasilah diriku dengan ahklak yang mulia. Ibu dan ayah, anakmu berdosa. Kau jaga diriku sedari kecil dengan kasih sayang. Mengapa ku curahkan kasih itu kepada orang lain. Oh Tuhan, hamba Mu berdosa.
KITA BERPISAH KERANA ALLAH.. KALAU ADA JODOH TIDAK KE MANA...!!!
0 comments:
Post a Comment