Idola: Ambil perhatian teguran Wardina

Pertubuhan Jamaah Islah (JIM) menyokong sepenuhnya saranan pelakon, pengacara dan personaliti TV, Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot agar masyarakat khususnya golongan remaja hari ini tidak terlalu ghairah menjadikan artis dan selebriti sebagai ikon atau idola untuk dicontohi.

Beliau dilaporkan mengemukakan saranan tersebut ketika menjadi salah seorang ahli panel yang mengupas tajuk 'Selebriti sebagai Ikon Masyarakat’ dalam program bual bicara anjuran Kerajaan Negeri Kelantan di Kota Bharu minggu lepas.

Menurut beliau juga, dunia artis serta hiburan lebih banyak dipenuhi dengan keburukan daripada kebaikan dan hanya bersandarkan keseronokan.

JIM menyedari bukanlah mudah bagi Wardina membuat pendedahan sebegitu, yang tentunya akan menimbulkan pelbagai reaksi daripada banyak pihak. Wardina telah memilih untuk menyatakan kebenaran dan tidak berselindung di sebalik kepalsuan, sekaligus menunjukkan dia adalah seorang yang berfikiran matang dan mempunyai tanggungjawab sosial yang tinggi terhadap masyarakatnya.

Sebagai seorang yang pernah dan masih terlibat terus dalam dunia penyiaran, hiburan dan perfileman, Wardina tentunya merujuk kepada pengalaman sendiri yang dilaluinya. Amatlah wajar sekiranya teguran Wardina diambil serius dan dijadikan iktibar untuk rakan artis yang lain.

Selaras dengan itu, JIM ingin membuat penegasan agar:

Masyarakat umum khususnya golongan remaja tidak terlampau ghairah memuja dan menyanjung golongan artis, terutamanya mereka yang secara terang-terangan menunjukkan akhlak, sikap dan tingkah laku yang tidak sopan dan bertentangan dengan ajaran moral dan agama.

Golongan artis bersikap lebih bertanggungjawab mendidik diri masing-masing dengan ilmu pengetahuan, adab sopan, tatasusila dan tahap profesionalisme yang tinggi. Mereka juga harus sentiasa peka dengan sensitiviti masyarakat, dan bersedia menerima teguran dan membaiki kesilapan. Bagi tujuan ini disarankan golongan sarjana dan ilmuwan serta pihak berwajib didampingi agar artis menjadi contoh teladan yang baik kepada masyarakat.

Media massa tidak keterlaluan mendewa-dewakan golongan artis melalui lambakan program berbentuk hiburan dan realiti, ataupun sibuk membuat liputan mengenai kontroversi dan berita hangat yang berlegar di sekitar kehidupan artis.

JIM sedia membantu artis atau mana-mana pihak bagi menjalankan tanggungjawab sosial yang membina.

Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj,

Naib Presiden JIM

Di petik dari harakahdaily.net ( 11 Rabi'ul Awal 1431 H | 25 Februari 2010)

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=25133:idola-ambil-perhatian-teguran-wardina&catid=109:remajawanita&Itemid=151

Read More......
Related Posts with Thumbnails