Kini Aku Benar2 Jatuh Cinta

video ini realiti kehidupan alam perkahwinan... bersedialah wahai para bakal suami...



Setelah lama pena tidak mencoret buah fikiran di blog yang usang ini. Banyak peristiwa yang telah silih berganti menerjah ke dalam hidupku. Walaupun sebahagiannya Alhamdulillah telah selamat berlalu, terasa ingin juga dikongsikan agar ianya mampu menjadi pengajaran untuk rakan2 sekalian.


Proses Mengenali

Kami yang dahulunya langsung tidak mengenali perangai dan tabiat masing2 memulakan langkah dengan taaruf yang ringkas. Segalanya pun bermula setelah sedikit perbalahan berlaku hasil kerana salah faham yang sangat kecil. Akhirnya abang telah mengambil keputusan untuk mula bertaaruf secara formal dan itu membuahkan hasil. Salah faham yang berlaku tiada siapa yang dipersalahkan dek kerana kami sangat menyedari bahawa pasangan kami langsung tidak terdedah dengan sikap jenis yang berlainan. Saya tidak memahami sifat lelaki dengan baik dan abang juga tidak memiliki kemahiran itu. Masing2 baru melabuhkan layar untuk sama2 berlayar ke pulau indah yang dijanjikan oleh Allah iaitu syurga. Jadi, ini adalah proses biasa…

Di awal perkahwinan, kita akan mula nampak segalanya tidak seindah yang kita bayangkan dan impikan sebelum berumahtangga. Inilah bisikan syaitan untuk meruntuhkan kreadibiliti seorang suami dihati isteri sehingga mengakibatkan tiada hormat menghormati antara satu sama lain. Berhati-hatilah…

Kita perlu sentiasa bisikkan kedalam hati kita, “inilah suamiku yang bakal menjadi ayah kepada anakku dan suamiku didunia dan diakhirat. Pemimpinku. Dia bukan manusia yang sempurna tetapi dia memerlukan penyempurna dan peneman. Itulah aku. Aku juga bukanlah sempurna seperti yang dia bayangkan tetapi dialah yang akan menyempurnakan aku…”

Apabila kita sentiasa bisikkan itu kedalam diri disamping istighfar tanpa henti, insyaAllah akan diperlihatkan penyelesaian dalam sebarang salah faham dan segalanya akan terus bahagia.

Dia Imamku…

Perkahwinan adalah satu ibadat yang dituntut didalam Islam.

Firman Allah s.w.t. bermaksud:
"Dan, kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.”
(Surah An-Nur:24)


Firman Allah s.w.t.bermaksud:
"Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan yang membiakkan dari kedua-duanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai."
(Surah an-Nisa':1)

Rasulullah s.a.w bersabda:
“Wahai anak muda, berkahwinlah. Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (daripada gelojak nafsu)”
(Hadith riwayat Imam Al-Bukhari)

Hakikat dari 3 nas tersebut adalah galakan perkahwinan yang benar2 dijalankan kerana Allah. Limpahan kekayaan yang disebutkan oleh Allah s.w.t juga dapat ditafsirkan dengan kaya hati, jiwa, zuriat, kerabat, sahabat dan sebagainya. Penyatuan antara 2 keluarga itu bukan hanya untuk melebarkan ajaran Islam dikalangan manusia didunia ini tetapi sebagai memenuhi fitrah seorang manusia yang memerlukan kasih cinta seseorang. Fitrah bagi seorang wanita juga adalah mencari pelindung dan pemberi sepenuh kasih sayang. Jiwa wanita sangat halus dan menanti untuk disayangi dengan sah tanpa berlaku sebarang kezaliman.

Apa yang berlaku dewasa ini ramai remaja dan dewasa yang tersalah tafsir tentang cinta sehingga mereka mendahulukan cinta sebelum bernikah. Bukankah sesuatu yang tanpa ikatan yang jelas itu mampu menjebakkan diri kekancah kebinasaan? Bila2 masa lelaki bakal meninggalkan kita dek kerana tiada ikatan yang jelas menjadi tanggungjawab lelaki itu untuk menjaga kita sepanjang hayat. Sedangkan ada manusia yang mengabaikan tanggungjawab sedangkan dia tahu tentang hukumannya di akhirat, inikan pula lelaki yang tiada ikatan tanggungjawab itu? Fikir2kan lah bagi yang kemaruk bercinta. Lelaki tidak kurangnya dalam hal ini. Ada yang syok bercinta sehingga mengumpul segala memori2 dalam ingatan dan simpanannya. Bayangkan jika ditakdirkan kekasih itu bukan isteri anda, isteri bakal mengetahui segala memori2 simpanan yang anda abadikan kononnya sebagai kenang2an. Hancur luluh hati seorang isteri (yang mungkin seorang yang menjaga hati) dengan membayangkan kisah cinta suaminya. Sudah pasti bayangan negatif bakal menerjah ke ruang minda seorang isteri yang suci. Jangan disalahkan isteri kerana terlalu cemburu sedang itu fitrahnya, tetapi salahkanlah diri anda kerana tidak menjaga hati.

Kehidupan berdua sangat berbeza dengan hidup bersendirian. Kita tidak akan putus2 mengingati Allah s.w.t. kerana kita sentiasa melihat wajah pasangan kita yang dinaungi nur Ilahi. Alangkah indahnya punya imam di waktu2 dia tidak mampu untuk ke masjid/surau. Lebih indah bila melihat suami berkejar2 setiap pagi untuk menyertai jemaah Subuh di surau. Indahnya Alhamdulillah... Moga sikapnya bakal diwarisi oleh anakku.

Jadi carilah pasangan yang benar2 menjaga Islam dan menjaga imannya. InsyaAllah kita akan bahagia. Tetapi jika ditakdirkan kita tidak mendapat pasangan seperti itu, terimalah seadanya dan berusahalah dengan sabar. InsyaAllah usaha itu juga dikira sebagai ibadat extra melebihi pahala orang2 yang dikurniakan pasangan yang sedia ada menjaga imannya.

Pengikat Kasih Sayang

Anak sering disifatkan sebagai pengikat kasih sayang diantara suami dan isteri. Namun rupa2nya bukan mudah untuk melahirkan seorang anak.

”Cikdah beria nak dapat baby siap ringtone pun lagu dodoian ibu. baru berapa bulan...esok2 dah jadi mak tau laaaa..” usik kakak iparku sambil tergelak kecil. Saya tersenyum melihat gelagat mereka.

Ya, tidak dapat dinafikan bahawa ada wanita yang sangat menginginkan seorang anak dan ada pula yang masih belum bersedia untuk menjalankan tanggungjawab tersebut.

”aku bernikah kerana Allah. Aku ingin melahirkan pejuang2 Agama Allah. Jadi apa yang digusarkan?” bisik hatiku setelah diusik oleh sepupu2 yang sememangnya sangat nakal.

Saya sedar bahawa ramai dikalangan keluarga dan sanak saudaraku yang tidak dapat menerima berita kehamilan ku. Membayangkan berita itu disambut sebagai berita gembira buat mereka hanyalah sia2. Mak termenung kaku bila kami khabarkan berita tersebut. Jauh disudut hati sedikit kecewa dengan reaksi mereka tetapi itu keputusan kami iaitu untuk meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w. Kami berusaha untuk mempertahankan bayi ini dengan sebaik mungkin walau dugaan demi dugaan silih berganti.

"abang, ada darah..." bisikku kepada suami dengan penuh tenang bimbang jika dia panik. Perutku mula sakit dan morning sickness kembali menjenguk.

Allahurabbi... bantulah hamba-MU...

Minggu demi minggu berlalu. Doktor bersilih ganti telah ku temui. Ubat pemulihan pendarahan dan injection telah ku ambil. Alhamdulillah kini ku telah kembali segar seperti biasa meneruskan kehidupan bersama kehidupan mujahid baru yang bakal ku lahirkan.

Minggu2 duka itu ku lalui dengan sedih bertandang dihati. Sedih melihat abang bertungkus lumus menyediakan makanan berkhasiat secukupnya untukku mengikut masanya, membasuh pinggan mangkuk pakaian, mengemas rumah, menggosok baju sendiri, membuat segalanya sendiri. Sehingga dia membeli buku panduan memasak untuk ibu hamil. Saya tidak dibenarkan bergerak dari katil dan sepenuhnya perlu berehat jika sayangkan bayi dalam kandungan. Siapa yang tidak sayangkan anak? Jauh disudut hati ingin ku katakan kepadamu abang, "diri ini sangat kagum dengan ketabahan abang”. Saya sangat faham bahawa jiwa seorang lelaki bukan itu. Bukan memasak, mencuci dan menghidangkan kepada isteri. Tetapi jiwa lelaki lebih kepada keluar rumah bersama masyarakat mencari nafkah dan membuat gerak kerja untuk Islam. Tetapi segala yang berlaku membuka mataku dan mengatakan bahawa
"saya kini benar2 jatuh cinta kepada suami ku...!!!"

Kini Berjauhan

وَمَكَرُوا وَمَكَرَ اللَّـهُ ۖ وَاللَّـهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ
(سورة آل عمران:54)

Ditakdirkan oleh Allah, saya tidak mampu menghabiskan dengan baik semester lepas dan terpaksa kembali memasuki kuliah master seperti biasa. Maka kini kami berdepan dengan PJJ (perkahwinan jarak jauh) yang biasa suami isteri muda mudi sekarang lakukan. Atas tuntutan itu kami pasrah dengan keadaan dan rindu merindu mula berputik. Sekali lagi, semuanya pasti ada hikmahnya. Manis perkahwinan itu bukan dengan kehidupan senada tetapi dengan kehidupan yang pelbagai.

Pesanan

Sebagai ingatan buat sahabat2 yang bakal melangsungkan perkahwinan:

• Bersedialah mental dan fizikal. Kuasailah ilmu alam perkahwinan sebaik mungkin dengan mendengar nasihat2 dari orang2 yang berpengalaman selain membaca buku2 berfaedah. Dulu saya sering mengabaikan hal ini dengan mengatakan belum masanya, geli nak baca buku2 tu, banyak lagi kerja Islam yang nak difikirkan. Saya boleh katakan bahawa saya silap dengan segala tanggapan itu. Persediaan perlu ada khususnya kepada yang memang sudah umur dan keadaan hampir berkahwin.

• Belilah buku2 fiqh yang berkaitan sebagai persediaan jika memerlukan rujukan. Pengamalan membuktikan buku2 ini mampu membantu merungkai persoalan yang malu untuk kita tanya kepada ustaz, ustazah mahupun rakan karib kita sendiri. Jadi, belilah buku sebagai persediaan. Tidak rugi insyaAllah kerana ilmu fiqh sangat penting bagi membantu menjalani kehidupan seharian.

• Bersedialah untuk memberi dan menerima. Persediaan itu kita boleh jana dengan sentiasa berfikiran positif disamping meningkatkan amalan ibadat kepada Allah s.w.t. hanya Allah yang mengetahui apa yang terbaik untuk kita dan hanya dengan menyebut nama Allah hati kita akan tenang menghadapi segalanya.

• Perbanyakkanlah solat malam kerana solat malam akan melahirkan diri seorang yang kuat menempuh ranjau dan duri kehidupan.

• Buatlah persediaan majlis dengan teratur dengan menggunakan segala skill management yang kita ada. Perancangan yang baik boleh mengelakkan pengantin menjadi stress menjelang majlis perkahwinan. Ingat, yang penting adalah akad nikah bukan majlisnya. Bahagia kita bukan terlihat pada gah nya majlis, tapi bahagia kita adalah ketika dalam kapal pelayaran itu sendiri.

• Tidak salah untuk mengimpikan rumahtangga yang sempurna dan indah belaka tetapi biarlah berpada2. Jangan sampai ada perasaan menyesal nanti. Teropong dalam diri, siapalah kita untuk mendapat semua itu tanpa izin-NYA. Maka bersedialah untuk menerima kelemahan pasangan kita dan sama2 perbaiki diri.

Penutup

"pesan dekat Ainul jangan la tunjuk sangat bahagia tu. Orang lain bahagia jugak." sindir seorang sahabat kepadaku.

Mungkin kata2 itu sekadar gurauan atau mungkin benar2 teguran. Mula insafi diri, "bila masa saya tunjuk sangat saya bahagia?". tapi teguran tetap saya ambil sebagai teguran. Mungkin benar ada saya terlafaz perkara2 sensitif bagi orang lain. Mungkin benar itulah salah satu keburukan Facebook yang boleh menyebabkan kreadibiliti seseorang tercalar.

Perkongsian kali ini hanya sebagai perkongsian untuk semua khususnya sahabat2 yang bakal menempuh alam perkahwinan. Moga ianya memberi manfaat dan bukan menjadi fitnah pula pada diri. Moga dijauhkan daripada hasad dengki dan iri hati manusia. Diri bukan sempurna dan masih perlukan teguran serta panduan. Usia perkahwinan baru setahun jagung dan banyak lagi yang bakal ditempuh. Moga redha Allah bersama kita semua. InsyaAllah...

Wallahua’lam...

Read More......
Related Posts with Thumbnails