Ikhlaskah Hatiku??



Baru-baru ini saya telah mendengar kuliah yang menyentuh pelbagai aspek dan tajuk yang paling menyentuh hati saya mengenai keikhlasan. Masih terngiang-ngiang kata-kata ustaz, ustaz kata kenapa orang-orang berjuang kadang-kadang tidak mendapat pertolongan dari Allah s.w.t sedangkan Allah telah menjanjikannya melalui ayat-ayat Al-Qur’an? Bukankah janji Allah itu benar belaka??

Surah Al-Hajj [40]……dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. [41] Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

Surah Muhammad [7] Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.

Tersentak saya dengan jawapan ustaz. Antara sebab yang paling nyata ialah niat. Benarkah niat kita benar-benar untuk berjuang kerana Allah? Benarkah kita membantu Agama Allah s.w.t adalah kerana tanggungjawab kita atau ada maksud dan harapan selain dari keredhaan Allah? Atau itu semua retorik semata-mata? Disebabkan kita berjuang bukan kerana Allah s.w.t, maka pertolongan Allah itu tidak layak untuk kita. Janji Allah s.w.t itu Maha Benar dan tepat.

Ada betulnya apa yang ustaz katakan. Sebab itu didalam hadith 40 pun disusun hadith tentang niat diawal dek kerana kepentingannya. Saya juga pernah dengar Allahyarham Ustaz Khairul Azhar Kamaruddin (yg pernah sy nukilkan di article yang terdahulu) berkata tidak mustahil seseorang pejuang itu beralih arah dek kerana niat dan keikhlasan di hatinya diragukan. Ketetapan kita berjuang dijalan Allah ini bergantung kepada niat asal kita. Jika betul niatnya, maka betullah caranya. Ada kaitan diantara kedua2 pendapat yang saya telah dengar. Sememangnya pertolongan Allah itu hanya kepada orang yang berjuang sebenar-benarnya kerana Allah bukan kerana yang lain.

Amat-amat berbeza orang yang berjuang kerana ingin mendapatkan jawatan. Juga berbeza bagi orang yang berjuang kerana mengikut kawan-kawan dan sekadar suka kegiatan Islamic. Orang yang belajar hanya untuk lulus peperiksaan juga berbeza. Saya dapat rasainya perbezaannya sendiri. Mungkin kerana niat saya belajar sekarang ini sudah tersalah. Dulu, sewaktu belajar di KUSZA, saya dapat rasakan apa yang saya belajar itu adalah ilmu dan bukan hanya untuk peperiksaan. Banyak ilmu yang masih saya ingat sehingga hari ini. Namun, apabila masuk USIM, sesuatu kepelikan yang saya rasa iaitu saya tidak dapat mengingati apa yang saya belajar. Bukan tidak ingat semua tetapi banyak yang tidak ingat dari ingat. Itu yang saya runsingkan kerana saya hanya menyedarinya selepas saya masuk tahun yang ke-4. Atau mungkin ada sebab-sebab lain yang saya kurang pasti. Mugkin hati yang banyak melakukan dosa menjadikan gelapnya hati. Ya Rabbi, ighfir zunubi Ya Allah..

Saya berpesan kepada diri saya dan semua yang membaca article ini, betulkan niat kita bersama. Niat kita untuk belajar kerana Allah. Belajar untuk sama2 membantu menyebarkan Agama Allah s.w.t. Allah tidak memandang berjaya atau tidak apa yang kita usahakan. Tetapi Allah menilai keikhlasan dan kesungguhan yang kita lakukan. Ada pula yang membantah dan mengatakan bagaimana kita hendak memenangkan Islam sedangkan kita sering menyatakan Allah tidak memandang berjaya atau tidak. Pada saya, keikhlasan itu melangkaui keberjayaan. Seringkali saya mendengar, yakinlah bahawa Islam itu pasti akan menang cuma tidak tahu bila. Seperti juga kita menyebarkan Dakwah kepada orang lain, belum pasti kita dapat membawa mad’u kita kembali kepada Allah s.w.t kerana hidayah itu dari Allah dan hanya Dia yang berhak untuk menentukan siapa yang terpilih untuk mendapat hidayah dariNya.

Dan bagi pejuang-pejuang Islam, sama-sama kita betulkan niat dan keikhlasan kita. Tidak ada faedahnya jika kita berjuang kerana mengharapkan hal-hal duniawi. Pangkat, darjat, harta, populariti, kasih sayang manusia, itu semua duniawi. Keikhlasan melagkaui segala-galanya. Keselamatan diakhirat dan kebahagiaan disana jualah yang abadi. Niatkan semoga syahid itu dikurniakan kepada kita kerana kita berjuang kerana Allah. Selalu saya membayangkan jika saya berhadapan dengan musuh dimedan perang yang sebenar. Adakah saya mampu mempertahankan Islam dengan sesungguh-sungguhnya dan merelakan diri ditusuk pisau. Seringkali bayangan ini yang memotivasikan diri saya untuk terus menerus berjuang, belajar, mencari ilmu untuk menyebarkan Islam yang sebenar. Susahnya berjuang dimedan perang yang sebenar berbanding dengan jalan yang kita ambil sekarang. Semoga kita semua akan terus istiqamah dalam perjuangan dan rahmat Allah sentiasa mengiringi perjuangan kita. Ikhlaskan hatiku Ya Allah..

0 comments:

Related Posts with Thumbnails